Khamis, 3 Jun 2010

MESYUKURI NIKMAT ALLAH YANG TIDAK TERHINGGA.


Saya terdetik untuk menulis artikel ini di pagi ini selepas melihat bapa saudara saya keluar daripada rumah untuk pergi bekerja. Mungkin beliau tidak membaca artikel ini kerana beliau amat jarang memasuki internet, bahkan tidak tahu pun saya mempunyai blog ini.

Selepas saya melakukan sedikit senaman di pagi ini, saya berehat sekejap. Dan kemudian mengambil sampah untuk dibuang ke tong sampah di hadapan rumah.

Rumah saya bersebelahan dengan rumah bapa saudara saya. Beliau seorang yang amat baik hati, malah teramat ringan tangan membantu saya walaupun saya tidak meminta. Semoga Allah membalas budi beliau dengan memurahkan rezekinya. Malah satu ketika tempoh hari, saya mengalami sedikit “masalah”. Pada masa itu, beliau banyak membantu, memberikan kata-kata semangat dan nasihat.

Sebaik sahaja selesai membuang sampah tersebut, kelihatan bapa saudara saya baru keluar daripada rumah dengan mata yang masih mengantuk dan melihat badannya sedikit lemah. Semenjak dua menjak ini, beliau sering demam dan tidak sihat.

Saya sedikit sedih dan menumpang rasa ‘sakit’ beliau apabila melihat riak wajahnya yang kurang sihat itu. Kelihatan juga isterinya (ibu saudara saya) menemani beliau ke muka pintu. Mereka sudah berkahwin 10 tahun lamanya, namun tetap bahagia dan mesra.

Lantas selepas bertegur sapa, saya terus kembali ke rumah..

Sebaik masuk ke dalam rumah, saya terus berkata di dalam hati, “Ya Allah, ampunilah hambaMu ini. Mungkin diri ini begitu jarang dan alpa untuk mengucapkan syukur ke atasMu dan mungkin terkadang riak tanpa sedar di atas rezeki yang diriMu berikan kepadaku..”.

Saya berkata begitu di dalam hati dan disusuli dengan istighfar beberapa kali di samping kelopak mata yang hampir menitiskan air mata.

doa-syukur Mungkin saudara-saudari tertanya-tanya, apakah yang ingin saya sampaikan di sini. Fokus saya di sini adalah kepada para usahawan internet atau sesiapa sahaja yang berada dalam golongan yang berpendapatan mudah dan besar. Apa yang saya tulis ini adalah ikhlas dan sebagai muhasabah untuk kita semua.

Kita, untuk membuat RM1000 amat mudah sekali. Hanya beberapa jam sahaja. Tapi, mereka di luar sana, untuk mendapat RM1000 dalam satu bulan pun belum pasti.

Kita, hanya duduk menghadap komputer, menggunakan hanya jari jemari, tidak perlu keluarkan keringat, malah sambil menghirup secawan kopi panas. Malah mungkin di dalam ‘air cond’ dan kerusi pula yang empuk dan lembut.

Namun, mungkin tatkala dengan senangnya cara itu, ia mungkin amat mudah melekakan kita di dalam menjadi orang yang bersyukur kepada Allah SWT. Malah yang lebih teruk, datangnya sifat berlumba-lumba di dalam mengumpul harta dan wang, dan ingin menjadi yang terhebat dan terkaya. Jika ini walhasilnya, ia sudah jauh terpesong jauh di dalam tujuan sebenar mencari rezeki iaitu untuk ‘beribadat kepada Allah’.

“Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah (api neraka yang membakar sampai ke hati)..”. (Surah Al-Humazah: 1-5).

Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu)..” (Surah At-Takaatsur: 1-3).

Pernahkah kita, katakan dalam satu bulan hanya mendapat RM3000 daripada perniagaan internet dan mengeluh dengan hasil sebegitu? Jika ya, kita telah GAGAL di dalam menjadi orang yang bersyukur. Mengapa?

Jawapannya mudah. Mereka yang bekerja di bawah panas mentari, kerja yang memenatkan dan bergaji lebih rendah daripada pendapatan kita, mereka tidak merasa resah dan kecewa pun. Malah, mereka tetap bersyukur dan yang lebih hebat, mereka sumbangkan sedikit pendapatan mereka itu kepada perkara yang baik. Hidup mereka tetap tenang, bahagia dan tidak berkeluh-kesah.

Bagi diri saya, tidak kisah saya menjadi jutawan atau tidak kerana ia adalah hanya satu pilihan semata-mata dan bukan kewajipan. Cukuplah saya bebas hutang, mampu menyara diri dan keluarga, ada simpanan (bekalan) dan selebihnya disumbang kepada mereka yang memerlukan.

Erti Kejayaan dan Kepuasan Adalah Subjektif

Saya seronok dan puas melakukan kerja saya terutama membantu orang lain menjadi senang dan berjaya. Walaupun saya tidak mendapat upah atau pendapatan yang besar, tapi saya rasa puas dengan apa yang saya lakukan. Saya cuba menulis, berkongsi ilmu, mendidik, memotivasikan dan memberi inspirasi kepada orang lain.

Inilah kerja saya selama ini dan saya akan menapak ke peringkat yang lebih aktif lagi selepas ini dengan motto mendidik, memotivasi dan memberi inspirasi. Saya puas dan inilah cara saya. Walaupun letih, ia memberi keseronokan kepada saya. Wang BUKAN matlamat saya, tetapi nikmat membantu orang lain itu yang memberi kepuasan kepada diri saya.

Entahlah, sejak dahulu lagi saya tidak pernah membayangkan rumah yang besar-besar, kereta yang besar-besar, duit bertimbun-timbun, melancong ke luar negara dan bercuti ke sana sini. Hatta sehingga sekarang pun, saya tidak membayangkan itu semua. Saya pernah cuba, tapi saya rasa ia tidak sesuai untuk diri saya. Sebaliknya saya lebih suka pergi ke program perkongsian ilmu (apa saja ilmu yang baik), menelaah bahan-bahan ilmiah, ‘menyendiri’ di perpustakaan, berfikir, memerhati, berdiskusi dan satu lagi, menulis.

Mungkin saya kuat memegang satu prinsip sejak remaja lagi (sekolah) iaitu, “di dunia adalah tempat kita bekerja kuat, dan tempat berehat adalah di dalam kubur.” Saya berpegang kuat kepada prinsip itu sehingga kini sehinggakan saya tidak ada cita-cita untuk menjadi kaya atau berstatus jutawan. Bagi saya, cukuplah saya puas apa yang saya suka lakukan dan menunaikan tanggungjawab yang perlu saya tunaikan.

Kejayaan dan kepuasan di dalam usaha adalah amat subjektif. Sudah tiba masanya kita tidak hanya menjadikan wang sebagai kayu ukur kejayaan. Malah empayar perniagaan yang besar kini pun sudah mengukur tahap kejayaan empayar mereka dari sudut spiritual (dalaman) terutama kumpulan pekerja mereka. Wang akan datang sendirinya jika ada kekuatan dalaman.

Saya suka bergerak ke sana dan ke sini (travel). Saya suka menambah kenalan untuk bertukar ilmu dan pengalaman. Saya suka belajar perkara yang saya minat. Malah saya amat suka membaca dan mengumpul buku-buku. Dan saya suka kongsikan apa saja yang saya tahu dengan orang lain dengan cara yang saya terdaya. Inilah erti kejayaan dan kepuasan bagi diri saya. BUKAN WANG dan HARTA.

Utamakanlah TAQWA..

Kita sepatutnya lebih mengutamakan saranan-saranan Allah di dalam Al-Qur’an iaitu agar menjadi orang yang bertaqwa terlebih dahulu berbanding mendahulukan harta, material dan kekayaan. Dengan adanya taqwa, wang tidak akan berkuasa terhadap kita. Tetapi jika kita mengutamakan wang, ia mudah ‘makan tuan’.

Apalah wang setinggi gunung tetapi tidak bersyukur dan tidak pernah rasa erti cukup (qanaah). Sebaliknya terus menerus rakus menimbun harta bergunung-gunung dengan anggapan “hanya cara itulah aku akan senang bila datang kesusahan nanti”.

Secara tidak sedar, kita telah meletakkan pergantungan kepada wang dan tidak meletak keyakinan kepada kekuasaan Allah. Allah itu Maha Adil dan rezeki pun sudah tercatat sekian lama. Kita hanya perlu berusaha dan merancang tanpa perlu rasa gusar, risau, terkejar-kejar dan berlumba-lumba.

Tanda-Tanda Orang Yang Bersyukur

Tidak salah menjadi seorang yang kaya, jutawan atau mengumpul harta. Isi pokok di sini adalah menjadi seorang yang bersyukur dan dari manakah datangnya harta tersebut (halal atau haram).

Di dalam buku ustaz Zaharuddin, “Wang, Anda dan Islam” pada bab permulaan, beliau menerangkan secara jelas dan ringkas apa erti zuhud yang sebenar iaitu bukan soal wang yang banyak atau sedikit yang perlu dipersoalkan, tetapi yang perlu diperbincangkan adalah dari mana wang itu datang dan ke mana & bagaimana ia disalurkan.

Apakah tanda-tanda orang yang bersyukur?

miskin 1. Amat pemurah dan tidak berkira-kira untuk menyumbang sebahagian hartanya kepada mereka yang memerlukan.

2. Tidak hanya kenyang keseorangan. Mereka sentiasa memastikan ahli keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga tidak kelaparan dan kesusahan.

3. Sentiasa rasa cukup dan tidak mengejar duniawi dan material. Qanaah bukan bermaksud berhenti berusaha dan tiada peningkatan. Tetapi ia bermaksud syukur ke atas rezeki yang diperolehi dan terus berusaha mendapatkan rezeki yang halal.

4. Hanya membeli barang yang diperlukan sahaja. Mereka yang bersyukur tidak membeli sesuatu yang tidak digunapakai. Bagi mereka, jika ada sesuatu yang lebih penting dan jika ada orang lain dalam kesusahan, itu lebih utama daripada memuaskan mata dan hawa nafsu.

5. Selain berusaha mendapatkan wang, mereka juga begitu sibuk membantu orang lain dengan rezeki yang mereka perolehi. Orang yang bersyukur ‘bukan hanya sibuk mengenyangkan perut sendiri, tapi juga mengenyangkan perut orang lain’.

6. Menjadi diri sendiri. Mereka yang bersyukur sama sekali tidak memperbandingkan dengan orang lain walaupun pendapatannya bukanlah sebesar seperti orang lain. Orang yang bersyukur berusaha mencari rezeki yang halal, memenuhi keperluan hidup seharian, menyimpan buat bekalan dan berkongsi sebahagian dengan orang lain.

7. Tidak menunjuk-nunjuk atau ‘heboh satu kampung’. Mereka yang bersyukur tetap “low profile”, tenang dan terus berusaha.

Berbalik kepada kisah bapa saudara saya tadi, kerjanya amat meletihkan. Mungkin bekerja di bawah panas yang terik. Gajinya bukan seberapa pun. Namun, beliau seorang yang tekad. Masakan tidak, sudah belasan tahun hanya kerja yang sama.

Jangan sesekali saudara-saudari semua mengatakan beliau sekeluarga susah dan merana. Saya setiap kali memasuki rumahnya, hati saya rasa tenang, mata pula sejuk memandang. Beliau bersama isterinya melayan tetamu (termasuk saya) dengan penuh ramah dan tetap menyambut tetamu dengan baik pada bila-bila masa pun. Ruang rumahnya walau tidak sebesar mana, tapi tetap rasa luas.

Saya sering tertanya, mengapa saya berasa sedemikian setiap kali memasuki rumah mereka. Jawapannya mudah. Mereka mendapat rezeki yang berkat, hasil jerih-perihnya yang menumpahkan peluh di dalam kerja yang dilakukan. Inilah dikatakan sebagai hidup yang sentiasa dipayungi oleh rahmat dan kasih sayang Allah. Berkat rezeki yang halal dan dilakukan dengan susah payahnya.

Tapi, mengapa kebanyakan kerja yang senang seperti perniagaan internet, wang cepat habis dan yang lebih teruk wujudnya perasaan ingin terus-menerus menambah wang tanpa rasa cukup? Malah seperti wujudnya rasa sering ketinggalan? Mungkin… Mungkin telah termasuk ke jalan yang kurang berkat. Atau mungkin… Mungkin tiadanya rasa syukur atau tidak merealisasikan rasa syukur ke dalam beberapa bentuk tertentu seperti bersedekah dan sebagainya.

Patutlah… Patutlah jika kita mendapat pendapatan dengan mudah di internet seperti RM1000, RM5000, ia cepat habis atau kita terus ingin berlumba-lumba dan rasa amat resah jika ada orang lain lebih hebat. Rupanya salah satu sebab adalah mungkin kita tidak bersyukur kepada Allah dan tidak pernah rasa cukup.

Jika kita seorang yang bersyukur, kita tidak akan membazir wang yang ada. Jika kita seorang yang bersyukur, kita tidak rasa pelik dan tercabar dengan pendapatan orang lain yang lebih besar. Jika kita seorang yang bersyukur, kita memiliki satu perkara yang tiada pada orang yang tidak bersyukur iaitu KETENANGAN HATI DAN JIWA.

Jiwa orang yang tenang (mutmainnah) hanya satu sahaja tujuannya: Hidup gembira di syurga yang tenang dan menatap wajah Allah Yang Maha Pengasih. Dunia material hanyalah alat sahaja yang berada di tangannya buat bekal hidup, dan bukan di hatinya.

“Dunia itu terlaknat, dan terlaknat apa-apa yang ada di dalamnya, kecuali dzikrullah dan apa yang mengikutinya, orang berilmu dan orang yang menuntut ilmu.” (HR. At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

“Maka ambillah apa yang telah Aku berikan padamu, dan jadilah orang-orang yang bersyukur.” (Al-A’raf: 144)

Jika tujuan dan nawaitu kita adalah ALLAH dan menelusuri liku-liku kehidupan ini dengan jalan yang telah ditunjukkanNYA, insyaAllah hati kita pasti TENANG.

Penutup tulisan kali ini, bersyukurlah ke atas apa saja yang kita dapat dan teruskan bekerja tanpa rasa putus-asa. Menjadi orang yang bersyukur itu lebih HEBAT berbanding menjadi kaya tetapi tidak menyertakan rasa syukur.

‘Kejarlah ketenangan, bukan kekayaan’. Si kaya atau si miskin, tak ke mana jua, tak berbeza destinasinya. Akhirnya semua ke kubur jua. Yang menjadi pengukur ‘di sana’, adalah amal, bukan harta yang menggunung.

Wassalam.


Tiada ulasan: